
Mesyuarat Khas tangani isu LGBT
PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Task Force bagi menangani isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan umat Islam negara ini yang berlangsung hari ini, bersetuju untuk segera melaksanakan tindakan tegas secara bersepadu.
Ia bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT, khususnya di media sosial, selain mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata tindakan lain adalah bagi mengenal pasti kekangan yang dihadapi pihak penguat kuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu.
Katanya, mesyuarat juga mencadangkan pindaan kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri.
Ini bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap umat Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.
"Mesyuarat juga mencadangkan menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan bertulis secara menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mesyuarat Khas Task Force dipengerusikan Ahmad Marzuk itu diadakan selaras Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Antara agensi yang menyertai mesyuarat itu ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ahmad Marzuk berkata, mesyuarat hari ini membincangkan secara khusus mengenai penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.
Beliau berkata, LGBT di seluruh dunia menjadikan Jun sebagai 'Gay Pride Month' dengan mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa, termasuk media sosial.
Katanya, pihaknya mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mempromosi gaya hidup LGBT.
"Dalam media sosial tertentu misalnya, tiada tapisan langsung terhadap kandungan video berkaitan hubungan sejenis yang sedang giat disebarkan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan