Ahmad (kiri) menyampaikan plak Tokoh Istiqamah kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin (dua dari kanan) pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini hari ini.
Ahmad (kiri) menyampaikan plak Tokoh Istiqamah kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin (dua dari kanan) pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini hari ini.

Perkasa undang-undang berkaitan LGBT


YAN: Dewan Ulama PAS Pusat menggesa undang-undang berkaitan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LBGT) diperkasakan bagi memelihara akidah umat Islam di negara ini.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya, berkata kerajaan perlu menangani isu ini secara serius dan bersikap lebih peka terhadap ancaman pendukung ideologi LGBT yang sedang meresap masuk ke rantau ini.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga perlu berhadapan realiti getir untuk mempertahankan negara daripada usaha 'menghalalkan' LGBT, susulan pengumuman untuk menerima LGBT oleh negara dari rantau sama.

"Sistem perundangan semasa yang meletakkan amalan LGBT sebagai suatu kesalahan jenayah telah termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

"Begitu juga pelbagai peruntukan enakmen negeri yang perlu terus diperkasa bagi melindungi ancaman LGBT kepada keutuhan bermasyarakat dalam negara," katanya ketika ucaptama Muktamar Dewan Ulama Pas di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini, hari ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, mengumumkan bahawa negara itu akan memansuhkan undang-undang Seksyen 377A era penjajah yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun terhadap kesalahan seks sesama lelaki.

Mengenai penganjuran konsert menampilkan artis Barat yang bertentangan agama dan budaya ketimuran negara, Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan pembabitan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

"JAKIM perlu diberikan suara yang kuat untuk didengari oleh pihak jawatankuasa. Malangnya, penyertaan JAKIM seolah-olah sekadar cukup syarat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut menggesa penguatkuasaan undang-undang serius untuk menanggapi kegiatan 'sexual grooming' atau antunan seksual melalui media sosial.

Katanya, kerajaan perlu menambah baik dasar sosial di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 bagi terus mengekang budaya songsang ini daripada terus menular dalam negara.

"Selain pengaruh LGBT, perkara ini juga termasuklah melalui rancangan kartun kanak-kanak serta penstriman langsung seperti Netflix.

"Peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) perlu lebih tegas dalam menghalang usaha normalisasi unsur LGBT melalui karya perfileman yang masuk ke dalam negara," katanya.



Ulasan