Cegah LGBT dengan undang-undang, tarbiah(BERITA HARIAN)



KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu mencari kaedah berkesan untuk membanteras gejala negatif lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) supaya tidak menular dan merosakkan generasi baharu negara.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata kewujudan golongan yang membawa budaya songsang di negara ini dilihat sebagai satu bentuk ancaman terhadap nilai murni yang diajar agama dan yang didukung masyarakat Timur selama ini.

"Jika budaya negatif ini dibiarkan tersebar secara berleluasa dalam masyarakat, dibimbangi ia menjadi sejenis wabak yang boleh menyumbang ke arah keruntuhan bangsa dan negara.

"Justeru, kerajaan perlu komited dan bersungguh-sungguh mencegah kemungkaran, sekali gus mengelakkannya daripada tersebar luas dalam kalangan masyarakat sehingga boleh merosakkan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan berkata, pihaknya memberi kuasa penuh kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk bertindak terhadap golongan LGBT, namun perlu diberi pendidikan atau tarbiah supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

Ia sekali gus menekankan kepentingan usaha pendidikan dan wajar dialu-alukan oleh semua pihak.

Wan Salim berkata, kerajaan wajar menggunakan apa jua cara dan kaedah difikirkan mampu untuk menyelesaikan kemelut LGBT ini.

Katanya, ini termasuk menangkap dan memenjarakan mereka yang terbabit aktiviti negatif ini supaya masyarakat terselamat daripada pengaruh mereka.

"Sememangnya gejala songsang ini tidak dapat dibasmi melalui tindakan undang-undang sahaja, malah perlu disertai proses mendidik atau tarbiah yang berkesan.

"Maka amat baik jika golongan ini diberi kursus mengikut modul dirangka secara khusus dengan bantuan mereka yang mempunyai kepakaran terutama dalam bidang agama, psikologi dan sains sosial.

"Pemimpin masyarakat dan pendidik juga diharap dapat memainkan peranan secara bersepadu untuk menangani isu LGBT ini di lapangan masing-masing," katanya.

Ulasan